PENGERUSI Eksekutif Petropolymer, Datuk Lee Son Hong (dua dari kanan) bersalaman dengan Ketua Eksekutif PDT, Lukman Abu Bakar (dua dari kiri) bertukar dokumen perjanjian dengan Permodalan Darul Takzim, anak syarikat pelaburan kerajaan Johor bagi membuka operasi pengeluaran bahan mentah untuk pembuatan sarung tangan di dalam kawasan Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) ketika majlis pemeteraian perjanjian antara Petropolymer dan PDT, di Thistle Hotel. – Foto Mohd Azren Jamaludin

JOHOR BAHRU, 22 Mei (Bernama) — Pengeluar sarung tangan getah, Petropolymer Sdn Bhd merancang untuk melabur US$300 juta (RM1.292 bilion) bagi membina kilang pengeluaran getah akrilonitril (NBR) di Pengerang, dekat Kota Tinggi.

Pengerusi Eksekutif Petropolymer Datuk Lee Son Hong berkata, bahan tersebut ketika ini perlu diimport dari Taiwan dan Thailand untuk pembuatan sarung tangan getah dalam negara.

Beliau berkata, potensi pelaburan itu adalah tinggi, tambahan pula disokong oleh Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) yang turut terletak di Pengerang.

Kemudahan pengeluaran NBR itu akan dibangunkan di kawasan seluas 60 hektar melalui dua peringkat, dengan fasa pertama membabitkan pelaburan US$150 juta dan dijangka mengeluarkan kira-kira 100,000 tan metrik NBR setahun untuk pengeluar sarung tangan getah di negara ini, katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Lee berkata jumlah pengeluaran dijangka terus meningkat sehingga mencecah 200,000 tan metrik menjelang 2025.

Pada masa kini, permintaan semasa daripada pengeluar sarung tangan getah terhadap NBR adalah tinggi iaitu kira-kira 600,00 tan metrik setahun.

Justeru, Petropolymer telah memeterai perjanjian kerjasama dengan syarikat milik kerajaan negeri, Permodalan Darul Takzim (PDT) bagi tujuan menembusi pasaran NBR.

Lee mewakili Petropolymer menandatangani perjanjian kerjasama itu manakala PDT diwakili Ketua Eksekutif, Lukman Abu Bakar.


Sumber : BERNAMA, 22 MEI 2017