PENGERUSI Eksekutif Petropolymer, Datuk Lee Son Hong (dua dari kanan) bersalaman dengan Ketua Eksekutif PDT, Lukman Abu Bakar (dua dari kiri) bertukar dokumen perjanjian dengan Permodalan Darul Takzim, anak syarikat pelaburan kerajaan Johor bagi membuka operasi pengeluaran bahan mentah untuk pembuatan sarung tangan di dalam kawasan Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) ketika majlis pemeteraian perjanjian antara Petropolymer dan PDT, di Thistle Hotel. – Foto Mohd Azren Jamaludin

JOHOR BAHRU: Pengeluar sarung tangan getah, Petropolymer Sdn Bhd merancang melabur kira-kira AS$300 juta (RM1.29 bilion) bagi membuka kilang getah arcylonitrile (NBR) yang pertamanya di Pengerang, Kota Tinggi, dekat sini.

Syarikat itu akan menjalin kerjasama dengan Permodalan Darul Takzim, anak syarikat pelaburan kerajaan Johor bagi membuka operasi pengeluaran bahan mentah untuk pembuatan sarung tangan di dalam kawasan Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID).

Pengerusi Eksekutif Petropolymer, Datuk Lee Son Hong, berkata pembangunan kilang berkenaan akan dibuat menerusi dua fasa yang keseluruhannya dijangka siap pada 2020.

Katanya, fasa pertama dibangunkan di keluasan 60 hektar itu akan membabitkan pelaburan kira-kira AS$150 juta (RM646.27 juta) yang apabila siap 2019 akan mengeluarkan kira-kira 100,000 tan metrik kepada pengeluar sarung tangan di negara ini. “Syarikat juga akan mengeluarkan 100,000 tan metrik NBR menerusi fasa kedua, yang mana keseluruhan 200,000 tan metrik akan dikeluarkan pada 2025.

“Ini melihat kepada permintaan semasa yang tinggi oleh pengeluar sarung tangan yang memerlukan kira-kira 600,000 tan metrik. Menjelang 2019, jumlah ini dijangka meningkat kepada 800,000 tan metrik dan pada masa sama, kami juga merancang mengeluarkan polyisoprene di kilang yang sama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pemeteraian perjanjian antara Petropolymer dan PDT di sini, hari ini.

Son Hong berkata, pada masa ini syarikat yang berpangkalan di Ipoh, Perak itu mengimport NBR dari Taiwan dan Thailand yang menjadikan kos pengeluaran sarung tangan getah lebih tinggi.

“Apabila siap kilang NBR ini, kami menyasarkan untuk mengeksport produk sarung tangan getah termasuk perubatan ke Amerika Syarikat (AS) dan Eropah, masing-masing 40 peratus dan 20 peratus lagi di Asia Pasifik,” katanya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif PDT, Lukman Abu Bakar, projek usaha sama itu bagi mengambil peluang daripada pembangunan RAPID di Pengerang yang dijangka siap dan beroperasi pada 2019.

Katanya, ia juga membuka peluang pekerjaan kepada rakyat dengan adanya aktiviti huluan seperti pembekalan makanan, penginapan, dan kawasan komersial dibangunkan di kawasan berkenaan.


Sumber : Berita Harian, 22 Mei 2017