ISKANDAR PUTERI, 6 April – Permodalan Darul Ta’zim (PDT) menyalurkan sumbangan sebanyak RM390,000 kepada Tabung Bencana Negeri Johor bagi membantu menangani krisis akibat pandemik COVID-19.

Cek sumbangan disampaikan Ketua Eksekutif PDT, Lukman Abu Bakar kepada Menteri Besar Johor, Datuk Haji Hasni Mohammad di Kota Iskandar, di sini, hari ini.

Menurut Lukman Abu Bakar, ini merupakan salah satu inisiatif di bawah Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Permodalan Darul Ta’zim dalam membantu golongan yang memerlukan.

“Penularan wabak COVID-19 telah memberi impak yang sangat besar kepada sosioekonomi rakyat termasuk di negeri Johor.

“Selaku anak syarikat Kerajaan Negeri Johor, PDT mengambil inisiatif untuk bersama-sama membantu menangani krisis akibat wabak ini.

“Malah, inisiatif ini juga selari dengan salah satu nilai teras PDT iaitu rakyat adalah menjadi keutamaan kami,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Tambah beliau, sumbangan tersebut juga diharap dapat meringankan beban golongan yang terjejas terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini memasuki fasa kedua pelaksanaannya.