Permodalan Darul Ta’zim (PDT) selaku anak syarikat Kerajaan Negeri Johor komited untuk meneruskan program bantuan pendidikan bagi tahun 2020.

PDT yang mula bergiat aktif pada 2014 akan sentiasa memberi keutamaan dan penekanan kepada pendidikan yang dilihat faktor penting dalam pembentukan kualiti hidup masyarakat. Walaupun PDT bukan sebuah syarikat yang besar, namun PDT akan tetap menyokong sebarang usaha yang melibatkan pendidikan.

Sejak program Tabung Pendidikan Sarjana PDT diperkenalkan pada 2016, sejumlah RM2.7 juta telah dibelanjakan dan hampir 600 pelajar telah menerima manfaat daripada program tersebut. Tabung Pendidikan Sarjana PDT ini diperkenalkan khusus untuk pelajar daripada keluarga B40 yang mengikuti pengajian di peringkat Ijazah Sarjana.

Pada 2018 pula, PDT telah mengorak langkah dengan memperluaskan program bantuan pendidikan kepada kumpulan sokongan dan pelaksana penjawat awam Johor. Langkah tersebut digerakkan menerusi program Tabung Pendidikan Kakitangan Kerajaan Kumpulan Pelaksana bagi menggalakkan penjawat awam melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat Diploma atau Ijazah Sarjana Muda. Sehingga kini, sebanyak RM350,000 telah dibelanjakan dan seramai 60 penjawat awam telah menerima manfaat tersebut.

 PDT melihat keperluan untuk meneruskan kedua-dua program bantuan tersebut pada tahun ini dengan peruntukan hampir RM200,000, walaupun pihak syarikat sendiri turut terkesan dengan pandemik COVID-19. Program bantuan pendidikan ini akan digerakkan dengan kerjasama Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ).

Permohonan boleh dibuat mulai 17 Ogos hingga 1 September 2020. Maklumat lanjut mengenai borang permohonan dan syarat-syarat permohonan boleh diperolehi di www.pdt.com.my/tabung-sarjana atau www.pdt.com.my/tabung-pendidikan.