Sekitar Majlis Menandatangani Perjanjian Kolaborasi antara PDT Oil & Gas Services Sdn. Bhd. (PDT O&G) dan PS Poly Pack Sdn. Bhd. serta Kumpulan Pendidikan YPJ (KPYPJ).

Majlis yang berlangsung semalam di Kota Iskandar disaksikan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Haji Hasni Mohammad yang juga merupakan Pengerusi PDT O&G.

Turut menyaksikan, Ahli Lembaga Pengarah PDT O&G, Ir. Kormain Mohd Noor dan Lukman Abu Bakar.

Kedua-dua perjanjian kolaborasi ini merupakan salah satu perancangan strategik PDT O&G selaku anak syarikat milik penuh Kerajaan Negeri Johor dalam usaha meneroka peluang perniagaan baharu yang berpotensi membangunkan ekonomi syarikat-syarikat di Johor.

Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Pengarah PDT O&G, Mohd Shahrin Dato’ Rahmat dan Pengarah Urusan PS Poly Pack, Ir Mohd Zain Harun.

PDT O&G dan PS Poly Pack akan bekerjasama dalam skop pembuatan dan pembekalan ‘flexible packaging and polyethylene bags’ di Johor.

Sementara itu, kerjasama PDT O&G menerusi anak syarikatnya PDT Training Sdn. Bhd., dengan KPYPJ adalah melibatkan penyediaan latihan kemahiran yang berkaitan di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC).

Perjanjian ini ditandatangani oleh Mohd Shahrin dan Ketua Pegawai Eksekutif KPYPJ, Azman Mohamed Shah.