Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, YB Tuan Haji Ayub Jamil, wakil rasmi YAB Menteri Besar Johor telah menyempurnakan Majlis Perasmian Jelajah Solar PBT Johor di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Batu Pahat, pada Rabu (15 Disember 2021).

Majlis tersebut turut menyaksikan sesi Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Permodalan Darul Ta’zim (PDT), United Solar Energy Malaysia (USEM) dan Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP).

Pemeteraian ini merupakan jalinan kerjasama di antara PDT-USEM dan MPBP bagi pelaksanaan projek pemasangan panel solar di bangunan milik MPBP.

MoU ditandatangani oleh Ketua Eksekutif (Kumpulan) PDT, Dato’ Ramlee A Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif USEM, Adila Ishak dan Yang Dipertua MPBP, Haji Kamalludin Jamal.

Pemasangan panel solar di bangunan MPBP adalah projek perintis di bawah program Masyarakat Rendah Karbon, menerusi inisiatif Supply Agreement of Renewable Energy (SARE) di bangunan milik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Johor.

Pasukan PDT-USEM kini sedang menjalankan taklimat kepada semua PBT Johor. Sejak Julai lalu, lawatan tapak telah diadakan di 92 buah bangunan milik PBT Johor bagi menjalankan kajian kebolehlaksanaan pemasangan panel solar menerusi Jelajah Solar PBT Johor.