Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Dato’ Seri Ir. Dr Zaini Ujang telah mengadakan lawatan ke tapak Projek Pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Kahang dan Tangki Simpanan Air yang baharu di Kluang, pada Sabtu.

Lawatan tersebut bagi melihat kemajuan pembinaan projek tersebut yang dibangunkan Kerajaan Negeri Johor bagi menampung keperluan bekalan air di daerah Kluang.

Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri Johor, Dato’ A. Rahim Nin; Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan), Dato’ Dr. Badrul Hisham Kassim; Pengarah Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ), Mohd Riduan Md Ali; Pengarah Projek Konsortium PDT-Asia Baru, Ir. Joo Hen Sin dan Pengerusi Asia Baru Construction, Dato’ Ismail Karim.

Apabila siap kelak, LRA Kahang dan sistem agihannya bakal menyediakan bekalan air terawat tambahan dengan kapasiti 40 juta liter sehari (MLD) yang disalurkan dari Empangan Kahang ke bandar Kluang.

Pembinaannya mampu mengatasi krisis bekalan air terutama pada musim kemarau, selain memenuhi keperluan pada masa hadapan berikutan pembangunan ekonomi yang semakin pesat di daerah itu.