Permodalan Darul Ta’zim Sdn. Bhd. (PDT) bersama delegasi Kerajaan Negeri Johor mengadakan lawatan ke Loji Rawatan Kumbahan Berpusat Langat (CSTP), Selangor dan Loji Rawatan Kumbahan (RSTP) Pantai 2 di ibu negara.

Sesi lawatan yang diadakan pada 23 Februari lalu, disertai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru, Dato’ Mohd Noorazam Dato’ Osman; Ketua Eksekutif (Kumpulan) PDT, Dato’ Ramlee A Rahman dan Pengarah Tanah dan Galian Johor, Dato’ Ashari Kasnan.

Lawatan ini diadakan bertujuan melihat teknologi yang digunapakai dalam pengoperasian loji rawatan tersebut serta perkongsian pengalaman dan kepakaran.

Langat CSTP mengaplikasikan teknologi kejuruteraan dari Jepun. Berkeluasan 7.3 hektar, ia mampu merawat kumbahan bagi populasi 920,000 penduduk setara (PE) dalam kawasan Lembah Klang.

Sementara itu, Pantai 2 RSTP merupakan loji rawatan kumbahan terbesar di Asia Pasifik dan loji rawatan kumbahan bawah tanah pertama di Malaysia yang mampu merawat kumbahan bagi populasi 1.423 juta penduduk setara (PE).

Kedua-dua loji ini dilengkapi sistem solar serta fasiliti rekreasi dan sukan untuk kegunaan penduduk setempat.

Lawatan turut disertai, Pentadbir Tanah Pejabat Tanah Daerah Johor Bahru, Mohd Fahmy Yahya; Penolong Setiausaha Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor, Nasuha Nazarudin dan barisan pengurusan kanan PDT serta anak syarikat kumpulan, Johor Special Water Sdn. Bhd.

Delegasi PDT disambut Ketua Pegawai Eksekutif, Indah Water Konsortium (IWK), Narendran Maniam.