Dalam usaha meningkatkan mutu dan kualiti perkhidmatan pembentungan khususnya dari aspek pematuhan standard pelepasan efluen terawat Jabatan Alam Sekitar (JAS), Kerajaan Negeri Johor dan Kerajaan Persekutuan telah menjalinkan kerjasama bagi mencapai matlamat tersebut.

Usaha itu direalisasikan menerusi Pemeteraian Perjanjian Kolaborasi Pengambilalihan Sistem Pembentungan Awam di kawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MPPG) di antara Johor Special Water Sdn. Bhd. (JSW) dan Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK).

Kerjasama ini melibatkan penyerahan perkhidmatan pembentungan di kedua-dua kawasan kepada IWK. Pengalaman dan kepakaran teknikal IWK sebagai syarikat pembentungan negara diyakini mampu memastikan aset-aset pembentungan beroperasi dan diselenggara secara optimum.

Sementara itu, JSW yang merupakan anak syarikat Permodalan Darul Ta’zim (PDT) akan bertindak sebagai Agen Pelaksana Bersama dan Perunding Pengurusan Projek bagi kerja-kerja pengubahsuaian dan menaik taraf Loji Rawatan Kumbahan di MBJB dan MPPG. Usaha sama ini juga bakal membuka peluang kepada para kontraktor Johor yang berdaftar di bawah Johor Centre For Constructions Development (JCCD).

Perjanjian kolaborasi ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif JSW, Tuan Haji Zulkiflee Abas dan Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam. Majlis yang diadakan pada 11 Oktober lalu di ibu negara, disaksikan oleh Menteri Alam Sekitar dan Air, YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad.

Majlis turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Johor, YB Dato’ Haji Azmi Rohani; Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan), YB Dato’ Dr. Badrul Hisham Kassim dan Ketua Eksekutif Kumpulan PDT, YB Dato’ Ramlee A Rahman.