Seramai 47 pelajar layak menerima bantuan Tabung Pendidikan Sarjana PDT (TPSPDT) bagi tahun 2021 yang melibatkan peruntukan sebanyak RM141,000.00.

Penyampaian sumbangan disempurnakan Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad yang juga Pengerusi PDT kepada wakil penerima pada 13 Disember 2021.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Johor, Dato’ Haji Azmi Rohani; Pegawai Kewangan Negeri Johor, Dato’ Haji Salehuddin Haji Hassan dan Ketua Eksekutif (Kumpulan) PDT, Dato’ Ramlee A Rahman.

TPSPDT diperkenalkan sejak 2016 bagi membantu pelajar golongan B40 yang sedang mengikuti pengajian di peringkat Sarjana melalui pemberian kewangan secara one-off.

Sementara itu, seramai lapan penjawat awam Johor turut menerima bantuan menerusi Tabung Pendidikan Kakitangan Kerajaan Kumpulan Pelaksana (TPKKKP) dengan jumlah peruntukan sebanyak RM20,000.00.

TPKKKP diperkenalkan pada 2018 bertujuan menggalakkan penjawat awam Johor melanjutkan pelajaran mereka ke tahap yang lebih tinggi.

Kedua-dua inisiatif ini digerakkan oleh PDT dengan Kerjasama Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor.