Pengarah Institut Dato’ Onn (IDO), Haji Farizal Ismail mengadakan kunjungan ke pejabat pengurusan Permodalan Darul Ta’zim (PDT) bagi memperkenalkan pelatih Johor Apprentice 2022.

Seramai 30 pelatih yang terdiri daripada pelbagai latar belakang pendidikan akan mula menjalani latihan di jabatan-jabatan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Johor termasuk PDT dan anak syarikat kumpulan selama 6 bulan bermula 1 Jun ini.

Johor Apprentice merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri Johor membangunkan modal insan khususnya untuk anak jati Johor dengan memberi bimbingan berfokus.

Diharapkan penempatan pelatih di PDT ini dapat memberikan pendedahan dan pengalaman bekerja yang sebenar, sekaligus melahirkan individu yang berdaya saing.