Shopee X Johor E-Mall yang akan dilancarkan anak syarikat kumpulan Permodalan Darul Ta’zim (PDT) iaitu Perbadanan Usahawan Johor Sdn. Bhd. (PUJB) bakal memberi manfaat kepada lebih 1,000 usahawan di negeri Johor.

Program dengan kerjasama platform e-dagang nombor satu di Malaysia iaitu Shopee Malaysia itu dijangka menjadi batu loncatan kepada usahawan Johor untuk terus maju melalui perniagaan secara atas talian, terutama ketika menghadapi pasca COVID-19.

Pakej pelaksaaan program itu turut merangkumi baucar pembelian, pakej sokongan peniaga Shopee, pelbagai aset pemasaran produk secara komprehensif, latihan kemahiran mengendali akaun e-dagang Shopee dan khidmat pelanggan.

Maklumat lanjut berkenaan program tersebut akan diumumkan menerusi Facebook rasmi Perbadanan Usahawan Johor.

Pada 8 Julai lalu, Kerajaan Negeri Johor melalui PUJB telah mengadakan kunjungan ke Shopee Malaysia di ibu negara bagi membincangkan pelaksanaan dan kerjasama program tersebut.

Perbincangan tersebut turut menyentuh mengenai peranan platform e-dagang yang menjadi salah satu medium utama untuk menjana pendapatan bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).