Pengerusi Eksekutif Dialog Group Berhad (Dialog), Tan Sri Dr Ngau Boon Keat mengadakan pertemuan bersama-sama Menteri Besar Johor, Datuk Haji Hasni Mohammad di Kota Iskandar, Iskandar Puteri, semalam.

Pertemuan tersebut bagi membincangkan pelbagai perkara, antaranya melibatkan kerjasama pembangunan Terminal Laut Dalam Pengerang, serta potensi bagi membangunkan kawasan Pengerang sebagai zon ekonomi khas yang utama di Johor.

Selain itu, turut dibincangkan adalah mengenai cadangan untuk mewujudkan pusat sehenti atau ‘One Stop Center’ yang akan menyediakan kemudahan kepada para pelabur dalam dan luar negara bagi menjalankan aktiviti perniagaan dan pelaburan di Pengerang.

Inisiatif-inisiatif di atas diharap dapat menjadi pemangkin untuk merealisasikan visi bersama untuk menjadikan Pengerang sebagai sebuah hab pengilangan utama dan perdagangan untuk sektor minyak, gas asli cecair (LNG) dan juga produk-produk petrokimia.

Turut hadir pada pertemuan itu ialah Timbalan Pengerusi Eksekutif Dialog, Chan Yew Kai; Ahli Lembaga Pengarah Dialog, Dato’ Ismail Karim; Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan), Dato’ Dr. Badrul Hisham Kassim dan Ketua Eksekutif Permodalan Darul Ta’zim (PDT), Lukman Abu Bakar.