Menjunjung kasih di atas keberangkatan DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor ke Bilik Gerakan Southern Volunteers di Sekretariat SUKMA Johor, Nusajaya Centre, semalam.

Lawatan ini bersempena dengan pengaktifan Skuad Pasca Banjir Southern Volunteers yang diberi tanggungjawab bagi membantu kerja-kerja pembersihan rumah mangsa banjir serta menyalurkan sumbangan barangan keperluan kepada mereka yang terjejas.

DYAM Tunku Ismail berkenan menyaksikan sesi penyampaian sumbangan daripada Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) negeri Johor kepada Southern Volunteers.

Pada sesi tersebut, Permodalan Darul Ta’zim (PDT) menyampaikan sumbangan berjumlah RM50,000.00. Ia disempurnakan oleh Ketua Eksekutif (Kumpulan) PDT, Dato’ Ramlee A Rahman kepada Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Selain itu, anak syarikat PDT iaitu Perbadanan Usahawan Johor Sdn. Bhd. (PUJB) turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM10,000.00 yang disempurnakan oleh Pengarah Eksekutifnya, Tuan Haji Mohd Radzi Mohd Amin.