Permodalan Darul Ta’zim (PDT) terus komited membantu golongan yang memerlukan menerusi program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di saat getir ketika ini.

Program kali ini melibatkan sumbangan kepada 200 gelandangan dan mereka yang terkesan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 4 Februari 2021.

Pengagihan sumbangan dilaksanakan dengan kerjasama Yayasan Kebajikan Negara (YKN) Zon Selatan dan Kelab Kakitangan PDT di Laman Tun Sri Lanang, Johor Bahru.

Sumbangan diberikan berbentuk bungkusan makanan dan minuman serta keperluan penjagaan diri seperti pelitup muka dan ‘hand sanitizer’.

PDT juga mengambil inisiatif menyampaikan maklumat berkenaan penjagaan diri, pematuhan SOP dan amalan norma baharu kepada gelandangan, dengan pengedaran risalah kepada mereka bagi mencegah penularan jangkitan COVID-19.

Sesi pengagihan sumbangan disertai Timbalan Presiden Komunikasi, Pentadbiran dan Sumber Manusia PDT, Noor’ Azmi Md Omar; Pengarah YKN Zon Selatan, Nurul Zahrawaini Mohamad Nordan dan Presiden Kelab Kakitangan PDT, Muhammad Nur Sadiqqin Mohd Khusni.

Terima kasih kepada Jabatan Penguatkuasaan, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) yang turut sama membantu melancarkan proses agihan kepada penerima.