JOHOR BAHRU, 27 Ogos — PDT Oil & Gas Services Sdn Bhd (PDT O&G), anak syarikat milik penuh kerajaan negeri, bakal meneroka peluang perniagaan baharu dalam pembuatan dan pembekalan produk berasaskan plastik di Johor.

Potensi itu bakal dilihat melalui pemeteraian perjanjian antara syarikat itu dan PS Poly Pack Sdn Bhd (PS Poly Pack)  hari ini.

Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad berkata kedua-dua syarikat itu akan bekerjasama dalam mempelbagaikan pelan perniagaan dalam bidang berkaitan, khususnya industri penghasilan produk plastik yang merupakan antara industri paling rancak dalam sektor pembuatan di Malaysia.

“Kita melihat perkara ini sebagai peluang yang baik bagi membantu PDT O&G memperluaskan pemasaran syarikat sebagai pemain industri minyak dan gas di Pengerang. 

“Dalam mempelbagaikan pelan perniagaan, PDT O&G perlu meneroka peluang lain di Pengerang supaya syarikat terus kekal dan kukuh dalam industri minyak dan gas serta tidak hanya bergantung kepada pemberian kontrak kerja perkhidmatan semata-mata,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Terdahulu, Hasni menyaksikan pemeteraian perjanjian yang dihadiri Pengarah PDT O&G Mohd Shahrin Rahmat, Pengarah Urusan PS Poly Pack Mohd Zain Harun dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan YPJ Azman Mohamed Shah di Pejabat Menteri Besar Johor di Kota Iskandar, di sini.

Hasni berkata PDT O&G perlu terus berdaya saing dalam industri yang mencabar ini berikutan keadaan ekonomi yang kurang stabil.

“Justeru, perancangan strategik untuk jangka masa tiga tahun akan datang kini dirangka dengan mengambil kira perubahan iklim ekonomi dunia dan negeri Johor pada masa ini,” katanya. 

Selain perjanjian itu, PDT O&G menerusi anak syarikatnya, PDT Training Sdn Bhd turut memeterai perjanjian dengan Kumpulan Pendidikan YPJ (KPYPJ) melibatkan latihan kemahiran yang berkaitan di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC). 

Hasni berkata latihan itu diharap dapat meningkatkan kepakaran teknikal, kemahiran pengurusan dan pendedahan projek mega menerusi perkongsian pengetahuan dan pengalaman kepada kontraktor di Johor.

“Kedua-dua perjanjian ini merupakan antara perancangan strategik PDT O&G dalam usaha meneroka perniagaan baharu yang berpotensi untuk membangunkan ekonomi syarikat di negeri ini,” katanya.

— BERNAMA