Kerajaan Negeri Johor menerusi anak syarikat Kumpulan Permodalan Darul Ta’zim (PDT) iaitu Perbadanan Usahawan Johor (PUJB) hari ini menjalinkan kerjasama strategik bersama Shopee Malaysia menerusi pelancaran kempen Johor E-Marketplace.

Menteri Besar Johor, Datuk Haji Hasni Mohammad berkata kempen ini merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Negeri dalam membantu golongan usahawan untuk terus maju menerusi perniagaan secara dalam talian, terutamanya ketika menghadapi cabaran pasca COVID-19.

“Usaha ini bakal memberi manfaat kepada lebih 3,000 usahawan di negeri ini serta jutaan pengguna platform e-dagang Shopee. Kerajaan Negeri Johor turut memberi ‘hadiah’, iaitu menyediakan baucar diskaun yang menarik untuk para pengguna.

“Selain itu, pelbagai aset pemasaran produk yang komprehensif, latihan kemahiran mengendali akaun e-dagang Shopee dan khidmat pelanggan turut disediakan bagi menyokong perniagaan PKS di Johor,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Johor E-Marketplace di Kota Iskandar, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Johor, Dato’ Azmi Rohani; Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia, Tuan Mohd Izhar Ahmad; Ketua Eksekutif PDT, Lukman Abu Bakar; Pengarah PUJB, Ashari Kasnan dan Ketua Kluster Barangan Pengguna Bergerak Pantas (FMCG), Shopee Malaysia, Tan Ming Kit.

Menurut Datuk Haji Hasni, kerjasama ini juga mampu mempercepatkan pertumbuhan ekonomi Johor yang sebahagian besarnya bergantung kepada perniagaan Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS).

Beliau turut menyeru agar semua usahawan merebut peluang bagi meningkatkan kualiti, nilai dan daya saing produk masing-masing menerusi penglibatan dalam Johor E-Marketplace.

Jelasnya lagi, pelaksanaan Johor E-Marketplace juga adalah selari dengan usaha Kerajaan Negeri untuk mengetengahkan budaya digital di negeri Johor.

“Kerajaan Negeri telah membuat keputusan untuk pembentukan sebuah Majlis Digital Johor yang antara lain untuk mempercepatkan proses bagi menjayakan aspirasi dan hasrat untuk memiliki sebuah Digital Bank,” katanya.

Johor E-Marketplace akan bermula pada 9 Ogos hingga 31 Disember tahun ini. Ia merupakan sebuah laman mikro khas yang akan menampilkan puluhan ribu produk usahawan Johor seperti makanan ringan, fesyen dan peralatan rumah.