Permodalan Darul Ta’zim Sdn. Bhd. (PDT) sebagai anak syarikat Kerajaan Negeri Johor (KNJ) sentiasa menyokong pembangunan lestari yang berlandaskan pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan sosial dan perlindungan alam sekitar.

Johor yang berkemajuan bukan sahaja akan menyaksikan pembangunan fizikal dan pertumbuhan ekonomi yang rancak. Namun, kelestarian alam sekitarnya juga mesti terjaga dengan baik. Ini juga merupakan salah satu inisiatif yang diperkenalkan oleh KNJ melalui Dasar Kelestarian Negeri Johor 2017-2021.

Selaras dengan inisiatif tersebut, satu lawatan tapak oleh PDT berkenaan projek perintis bagi cadangan Wastewater Treatment Using Modern & Cost Effective di Taman Mutiara Mas, Skudai telah diadakan bersama syarikat Renolux Engineering Sdn. Bhd. (RESB) bagi melihat kebolehlaksanaan projek tersebut.

Selain mesra alam, projek perintis ini juga menyaksikan kepakaran tempatan dalam menghasilkan teknologi sistem kumbahan yang lebih efisien iaitu Advanced Immobilized Cell Reactor (AICR) yang dapat menjimatkan kos operasi, penggunaan keluasan yang minima dan mencapai standard kualiti efluen yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Lawatan itu disertai oleh Ketua Eksekutif PDT, Tuan Haji Lukman Abu Bakar; Timbalan Presiden Penyelidikan dan Pemantauan Projek PDT, Azman Jaafar dan Pengarah Urusan RESB, Ir. Saniman Mail.