Seramai 49 pelajar dan penjawat awam Johor telah menerima bantuan pendidikan sebanyak RM3,000 seorang dengan jumlah peruntukan keseluruhan RM147,000.00.

Bantuan tersebut disalurkan menerusi inisiatif Tabung Pendidikan Sarjana PDT dan Tabung Pendidikan Kakitangan Kerajaan Kumpulan Pelaksana.

Sesi penyerahan mock-cheque disempurnakan oleh Menteri Besar Johor, YAB Datuk Onn Hafiz Ghazi sempena Mesyuarat Lembaga Pengarah PDT Kali Ke-31 di Pejabat Pengurusan PDT, Johor Bahru, pada Selasa.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Johor, YB Tan Sri Dato’ Dr Haji Azmi Rohani; Pegawai Kewangan Negeri Johor, YB Dato’ Haji Sallehuddin Haji Hassan; Ketua Eksekutif (Kumpulan) PDT, YB Dato’ Ramlee A Rahman dan barisan Ahli Lembaga Pengarah serta pengurusan kanan PDT.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ), Hishamuddin Abdul Rahim.

Program bantuan pendidikan ini digerakkan dengan kerjasama YRZSNJ dalam usaha meringankan beban para pelajar dari kumpulan B40 melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Daripada 49 penerima, 38 merupakan penerima Tabung Pendidikan Sarjana PDT yang sedang melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana (Master), manakala 11 pelajar adalah penjawat awam Johor kumpulan pelaksana yang sedang melanjutkan pelajaran di peringkat Diploma atau Ijazah Sarjana Muda.