Kami menyedari akan kesusahan dan kesukaran sebahagian daripada kita untuk menjalani kehidupan seharian berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini memasuki fasa ketiga.

Sehubungan itu, Permodalan Darul Ta’zim (PDT) menerusi Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mengambil inisiatif untuk bersama-sama menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Hari ini, sumbangan barangan keperluan harian iaitu makanan asas telah disampaikan kepada 120 keluarga dari Kampung Parit Medan, Kundang Ulu, Tangkak.

Mereka terdiri daripada golongan yang hilang punca pendapatan dan terputus bekalan makanan akibat penularan pandemik COVID-19 di seluruh negara.

Terdahulu, pihak PDT telah menerima sebanyak 150 permohonan bantuan daripada penduduk, yang diselaraskan bersama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Parit Medan.

Daripada jumlah itu, seramai 120 keluarga didapati benar-benar terjejas dan memerlukan bantuan dengan segera.

Semoga inisiatif yang dilaksanakan ini dapat meringankan beban mereka.