Dalam usaha menzahirkan komitmen bagi menghindari kegiatan rasuah dan salah guna kuasa, Permodalan Darul Ta’zim (PDT) bersama anak syarikat kumpulan telah mengambil inisiatif mengadakan Majlis Lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dan Menandatangani IBR.

Majlis yang berlangsung di Kota Iskandar, Iskandar Puteri pada 30 Mac 2022 telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Audit dan Integriti (JAI) PDT, YB Dato’ Ishak Sahari.

Lebih 100 kakitangan PDT termasuk anak syarikat kumpulan iaitu Johor Special Water Sdn. Bhd. (JSW), Syarikat Air Johor Sdn. Bhd. (SAJSB), Perbadanan Usahawan Johor Sdn. Bhd. (PUJB) dan Johor Centre for Construction Development (JCCD) telah melafazkan IBR yang diketuai oleh Encik Abdul Malik Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif SAJSB mewakili Pengurusan Tertinggi PDT.

Sesi Menandatangani IBR disempurnakan oleh Ketua Eksekutif (Kumpulan) PDT, YB Dato’ Ramlee A Rahman dan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Razim Mohd Noor serta disaksikan oleh YB Dato’ Ishak Sahari.

Pada majlis tersebut, YB Dato’ Ishak Sahari turut menyempurnakan Pelancaran Buku Panduan Integriti. Selain itu, turut diadakan sesi taklimat daripada SPRM dan Jabatan Bantuan Guaman serta ceramah Tumbuk Rusuk’: Pengkisahan Daripada Tirai Besi.