Seramai sembilan delegasi Amerika Syarikat (AS) diketuai Matt Ries (Director of Strategic Leadership and Sustainability, DC Water) telah mengadakan lawatan kerja tiga hari ke negeri Johor, pada 20 hingga 22 April lalu.
Permodalan Darul Ta’zim (PDT) selaku rakan kerjasama US Water Partnership (USWP) mewakili Kerajaan Negeri telah menyambut baik kehadiran delegasi tersebut, yang antara lainnya bertujuan memberi peluang kepada perkongsian kepakaran dan teknologi baharu dalam pembangunan industri air.
Lawatan tersebut disertai Walter Marlowe (Executive Director, Water Environment Federation (WEF); Joshua Boyce (Project Coordinator U.S. Water Partnership); dan Maile Lono-Batura (Director of Sustainable Biosolids, WEF).
Dalam lawatan tersebut, para delegasi berkesempatan melawat Empangan Linggiu dan Empangan Seluyut di Kota Tinggi; Empangan Gunung Pulai dan Empangan Pontian serta Pusat Pentadbiran Kerajaan Johor di Kota Iskandar, Iskandar Puteri.
Turut bersama-sama Robert Bornhofen (Senior Manager of Water Operation, DC Water); Apera Nwora (Director of Government Affairs & Public Policy, DC Water); Nicholas Passarelli (Manager of Process Engineering, DC Water) dan Juan Clar, Pegawai Ekonomi Kedutaan AS di Kuala Lumpur.
Sementara itu, wakil Kerajaan Johor disertai Ketua Eksekutif (Kumpulan) PDT, YB Dato’ Ramlee A Rahman; Ketua Pegawai Eksekutif Johor Special Water Sdn. Bhd., Haji Zulkiflee Abbas; Pengarah Badan Kawalselia Air Negeri Johor (BAKAJ), Haji Ridhuan Md Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Johor Sdn. Bhd., Abdul Malik Ismail.
Ini juga merupakan lawatan balas susulan kunjungan delegasi Kerajaan Johor sempena Water Environment Federation’s Technical Exhibition and Conference (WEFTEC) 2021 di Chicago, US pada Oktober tahun lalu.
Terdahulu, delegasi tersebut menyertai persidangan antarabangsa, Singapore International Water Week (SIWW) 2022 yang mengumpulkan tenaga pakar bagi perkongsian teknologi terkini dan peluang perniagaan dalam industri air.