Permodalan Darul Ta’zim (PDT) dan Cypark Resources Berhad (Cypark) telah menandatangani Memorandum of Business Exploration (MoBE) berkaitan kerjasama dalam industri tenaga lestari di negeri Johor.
Pemeteraian MoBE tersebut membabitkan projek pembangunan sistem Solar Terapung di bawah program Solar Berskala Besar atau Large Scale Solar Program (LSS), Suruhanjaya Tenaga di Empangan Seluyut, Johor.
Selain itu, PDT dan Cypark juga akan bekerjasama dalam projek pembangunan Ladang Solar Berskala Besar di zon penampan Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) serta pemasangan panel solar di bangunan PIC menerusi Skim Pemeteran Tenaga Bersih atau Net Energy Metering (NEM) di bawah Suruhanjaya Tenaga.
MoBE tersebut ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif Cypark, Dato’ Daud Ahmad dan Ketua Eksekutif PDT, Haji Lukman Abu Bakar di Kota Iskandar, semalam.
Turut menyaksikan, Pengurus Besar Kanan Cypark, Achmat Nadhrain Ibrahim; Timbalan Presiden Penyelidikan dan Pemantauan Projek PDT, Azman Jaafar dan Timbalan Presiden Undang-undang, Kesetiausahaan dan Integriti PDT, Firdaus Samad.